TEXAS – Pelumba sensasi Red Bull, Max Verstappen berkemungkinan berdepan hukuman penalti akibat pertukaran enjin di Grand Prix Brazil hujung minggu ini selepas pasukan Red Bull bimbang tentang kekurangan kelajuan maksimum jenteranya.
Sebelum ini, pelumba Belanda itu menghadapi masalah enjin semasa latihan di litar Mexico pada Jumaat yang memaksa membuat penambahbaikan pada unit kuasa selain kadar penggunaannya juga yang tinggi.
Data perlumbaan menunjukkan bahawa Verstappen hanya mencatat kelajuan maksimum 251.4 kilometer sejam (km/j) di garisan permulaan, lebih rendah daripada rakan sepasukan Sergio Perez yang mencapai 253.4 km/j, sementara Lando Norris pesaing utama dalam kejuaraan mencatat 307.9 km/j.
Selepas perlumbaan, isu penalti akibat pelanggaran bersama Lando Norris menjadi perhatian, namun Red Bull menyatakan kebimbangan sebenar adalah terhadap prestasi kelajuan jenteranya.
Penasihat Red Bull, Helmut Marko mengakui tayar medium dan keras sukar dioptimumkan, selain kelajuan di laluan lurus yang rendah semakin menjarakkan Red Bull dengan pasukan pesaing.
“Kami perlu melakukan sesuatu. Kami mungkin menukar enjin kerana terlalu perlahan di laluan lurus. Enjin ini sebenarnya tidak lagi sesuai untuk perlumbaan, jadi Brazil mungkin pilihan terbaik untuk penukaran enjin,” jelas Marko.
Selepas memiliki kelebihan 47 mata di hadapan Norris dalam kedudukan keseluruhan, penalti enjin di Brazil akan memberi kesan pada perlumbaan utama untuk Verstappen memburu penamat terbaik. – AGENSI