PETALING JAYA – Anak sulung kepada pelakon terkenal Rita Rudaini, Airit Rayyan Rizqin sekali lagi mencatatkan kejayaan cemerlang dalam bidang akademik apabila meraih Anugerah Penghormatan Pengetua lagi sekali di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar.
Kejayaan ini diiktiraf berdasarkan pencapaian akademiknya yang luar biasa dengan Purata Nilai Gred (PNG) 3.842 dalam peperiksaan Tingkatan 3, Semester 1 untuk tahun 2024.
Pencapaian Airit Rayyan yang membanggakan ini turut dikongsi oleh Rita di media sosial menunjukkan sokongan dan rasa bangganya terhadap anaknya.
“Alhamdulillah. Ryan dapat anugerah pengetua lagi hari ini. Terima kasih HR Ryan Mami ustazah wakilkan untuk Ryan. Flyhigh Ryan,” tulis Rita di dalam hantaran tersebut.
Sijil Penghormatan Pengetua ini turut menjadi simbol dedikasi dan kerja keras Airit dalam mencapai kecemerlangan akademik, meskipun mempunyai jadual harian yang ketat sebagai seorang pelajar.
“Dengan namanya dicatatkan dalam senarai Penghormatan Pengetua, semoga kejayaan ini akan mendorongnya untuk mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi pada masa hadapan,” kata wakil MRSM dalam sijil penghormatan tersebut.
Kejayaan ini pasti menjadi inspirasi kepada ramai pelajar untuk berusaha mencapai kecemerlangan dalam akademik, sekaligus membanggakan keluarga dan sekolah. – KOSMO! ONLINE