SEBERANG PERAI – Seorang pekerja sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, Bukit Mertajam di sini cedera pada pergelangan tangan kanan selepas tersepit pada sebuah mesin pengisar hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu dikatakan berlaku ketika lelaki berusia 30 tahun itu sedang bekerja.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya yang sampai di lokasi kejadian mendapati tangan seorang pekerja telah tersepit pada sebuah mesin pengisar semasa mengendalikan mesin tersebut.
“Bomba mengeluarkan tangan mangsa menggunakan peralatan khas menyelamat.
“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pada pukul 11.47 pagi dan dia yang cedera pada tangan kanan diserahkan kepada ambulan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya kepada pemberita hari ini.
Operasi itu digerakkan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda. – K! ONLINE