LONDON – Manchester United dilapor sedang memantau secara dekat perkembangan Jurulatih Sporting Lisbon, Ruben Amorim yang dilihat antara calon terbaik untuk dilantik sebagai pengendali baharu pasukan itu.
Pihak pengurusan tertinggi kelab tersebut kelmarin membuat keputusan untuk memecat Erik Ten Hag selepas kekalahan 1-2 mereka menentang West Ham United pada Ahad lalu sekali gus meletakkan United di kedudukan ke-14 saingan dengan hanya tiga kemenangan dalam sembilan perlawanan.
Bagaimanapun, hasrat untuk mendapatkan khidmat pengendali berusia 39 tahun itu tidak mudah apabila mereka perlu menebus kontrak Amorim, namun United dilapor tidak keberatan untuk berbuat demikian.
Sporting di bawah kendalian Amorim memiliki rekod bersih 100 peratus dalam saingan liga apabila menang kesemua sembilan aksi setakat ini dan berjaya meledak 30 gol dan sekadar bolos dengan dua gol.
Saingan di pentas Liga Juara-Juara juga cukup positif apabila mereka masih belum tewas selepas tiga perlawanan dengan meraih dua kemenangan dan satu seri.
Bagaimanapun, Amorim enggan memberikan penjelasan mengaitkannya dengan ‘kerusi panas’ di Old Trafford sebaliknya mengakui masih gembira untuk mengemudi kelab dari Portugal itu.
“Saya menjangkakan soalan seperti ini dan saya tidak mahu bercakap lebih mengenai masa depan. Sejak awal lagi, saya menjelaskan bahawa tidak ada kepentingan untuk semua orang bercakap mengenai masa depan saya kerana saya bangga menjadi jurulatih Sporting,” katanya pada sidang media kelmarin.
Sementara itu, seorang lagi calon yang dikait menggantikan Ten Hag iaitu pengendali Brentford, Thomas Frank juga tidak mahu mengulas lanjut mengenai khabar angin berkenaan.
“Saya mempunyai tanggungjawab di Brentford dan peminat di sini. Saya sudah bercakap banyak kali bahawa saya gembira berada di kelab ini. Saya fikir kami antara kelab terbaik di dunia,” jelasnya. – AGENSI