KUALA LUMPUR – Seorang peniaga pasar malam didenda maksimum RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghambur kata-kata kesat terhadap seorang lelaki di pejabat Ahli Parlimen di Bukit Bintang di sini minggu lalu.
Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhkan hukuman itu terhadap Kon Kian Pou, 42, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Sekiranya gagal membayar denda, Kian Pou boleh dipenjara selama tiga hari. Tertuduh membayar denda tersebut.
Lelaki itu didakwa berkelakuan aib dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Lee Kian Wei di Pejabat Ahli Parlimen, Bukit Bintang pada pukul 3.30 pagi, 24 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syafika Azwa memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Bagaimanapun peguam A. Daniel daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu denda ringan dengan alasan anak guamnya baru menjalani pembedahan dalam perut. – KOSMO! ONLINE