AMPANG JAYA – Seorang lelaki warga Myanmar ditangkap selepas dipercayai memuat naik hantaran berbaur makian terhadap anggota polis di aplikasi TikTok semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 5 petang.
Katanya, anggota Balai Polis Pandan Indah memaklumkan dia melihat video berdurasi 45 saat memaparkan seorang lelaki mengeluarkan kata-kata kesat dan ditonton 160,000 kali oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan pada pukul 7 malam oleh anggota Balai Polis Pandan Indah di Pandan Jaya di sini pada hari sama.
“Semakan mendapati, lelaki Myanmar positif methamphetamine dan amphetamine. Dia direman selama empat hari bermula hari ini,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 504, Seksyen 353 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multi Media 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.-KOSMO! ONLINE.