SEREMBAN – Kastam berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah bernilai RM3.3 juta hasil pemeriksaan rutin di sebuah gudang syarikat logistik di Shah Alam, Selangor pada 15 Oktober lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Ribuan Abdullah berkata, sepasukan anggota serbuan dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah menyita lima buah kotak di gudang terbabit.
Ribuan berkata, hasil pemeriksaan ke atas kotak-kotak terbabit telah menjumpai sejumlah bungkusan teh herba Cina yang mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat kasar 105 kilogram.
“Modus operandi ahli sindiket adalah dengan menggunakan khidmat pengendali kurier dari Lembah Klang untuk menghantar bungkusan berupa teh herba Cina ke Sabah.
“Pemeriksaan dibuat selepas timbul keraguan apabila tiada alamat pengirim pada bungkusan terbabit dan pemeriksaan terhadap alamat penerima juga mendapati alamat berkenaan palsu,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE