KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak wujud sebarang ketirisan dalam pengagihan tender pembekalan makanan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan ketirisan, tersebut tidak wujud seperti yang dipersoalkan seorang Ahli Parlimen pembangkang, semalam yang dikatakan membuat dakwaan semberono tanpa fakta dalam isu itu.
“Kita harus teliti. Jangan kita lontarkan semberono tanpa fakta, seperti mana saya dengar ucapan Pasir Puteh sebelum ini bahawa Menteri Kewangan tidak ikut tatakelola dalam pengagihan kontrak kepada D Saji dan Bukit Gantang. Tidak benar sama sekali.
“Saya yang tandatangan, saya tahu. Sebab itu kadang-kadang pandangan kita, kritikan jangan hanya dilontar secara semberono atau tanpa fakta. (Tuduhan) kontrak subsidi hendak diberi Ahli Parlimen Bukit Gantang umpamanya tak benar.
“Dengar dari mana? Dari TikTok. Seorang lagi WhatsApp. Ini belajar mana ni? Tak merujuk fakta. Tapi bila guna al-Quran dan hadis, tahu pula rujuk surah dan sanad dari mana,” jelasnya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Nik Muhammad Zawawi (PN-Pasir Piteh) berhubung mekanisme dan audit yang akan dilaksanakan kerajaan bagi memastikan ketelusan dalam pengagihan subsidi bersasar RON95 dan pelepasan cukai dividen.
Terdahulu, ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 semalam, Nik Muhammad Zawawi mendakwa, beliau mempunyai maklumat perbualan melalui aplikasi WhatsApp antara Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul dengan seorang pegawai berkaitan tender bagi membekalkan makanan kepada ATM.
Nik Muhammad Zawawi mendakwa, Syed Abu Hussin memohon tender berkenaan melalui sebuah syarikat dan ‘bertembung’ dengan permohonan daripada FELDA D’Saji Sdn Bhd (D’Saji), syarikat milik kerajaan yang disifatkan amat berjaya, sama ada di dalam dan luar negara. – KOSMO! ONLINE.