IPOH -Seorang pemandu lori tangki maut manakala kelindannya parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam parit dalam kejadian di Kilometer 263.0, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada pukul 10.49 pagi.
Katanya, seramai 15 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dan Kuala Kangsar di atur gerak ke lokasi kejadian bagi tugas menyelamat.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori tangki minyak tanpa muatan yang terbabas ke dalam parit dan terdapat dua orang mangsa tersepit di bahagian pemandu dan penumpang.
“Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit segera dilakukan menggunakan peralatan menyelamat.
“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 12.13 tengah hari namun pemandu lelaki dianggarkan berusia 40-an disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya di sini hari ini.- ” katanya. – KOSMO! ONLINE