KULIM – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengenakan kompaun berjumlah RM6,000 ke atas 20 pemilik motosikal dalam Operasi Penguatkuasaan Bunyi Bising Motosikal bersama polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, di sini semalam.
Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pemeriksaan dijalankan ke atas 23 motosikal yang telah disita sebelum itu atas pelbagai kesalahan.
“Ujian lanjut oleh Unit Kenderaan Bermotor JAS mendapati sebanyak 20 motosikal telah gagal ujian bunyi bising. Susulan itu, sebanyak 20 kompaun dengan setiap satu bernilai RM300 dikeluarkan kepada pemilik motosikal.
“Kompaun itu dikenakan di bawah Peraturan 4(2) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (bunyi bising kenderaan motor) 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, kesemua pemilik kenderaan yang gagal ujian bunyi bising diarahkan untuk menjalankan ujian semula ke atas kenderaan masing-masing selepas diambil tindakan pembetulan.
“Dalam operasi itu, hanya sebuah motosikal lulus, manakala dua lagi pemilik gagal hadir sesi ujian dan akan diambil tindakan susulan,” ujarnya.
Tambahnya, semua pemilik kenderaan diharap dapat memastikan kenderaan masing-masing mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan melakukan pemeriksaan secara berkala dan tidak melakukan pengubahsuaian yang boleh melanggar peraturan ditetapkan. – KOSMO! ONLINE