KUALA LUMPUR – Sehingga 28 Oktober 2024, Kementerian Luar Negeri, melalui Perwakilan Malaysia di Luar Negeri dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan telah berjaya menyelamatkan 707 warganegara Malaysia yang terlibat dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Muhammad Alamin berkata, jumlah tersebut telah berjaya dihantar pulang ke Malaysia,manakala 199 lagi sedang dijejaki. Ini menjadikan jumlah warganegara Malaysia yang terlibat seramai 906.
Katanya, jumlah tersebut adalah berdasarkan laporan yang diterima daripada waris, ahli keluarga, rakan, polis dan individu itu sendiri.
“Fenomena yang dikenali sebagai sindiket penipuan tawaran pekerjaan atau lebih dikenali sebagai job scam ini telah mendapat perhatian Ahli-Ahli Yang Berhormat, di mana Kementerian ini juga sering mendapat laporan daripada Pejabat Khidmat Ahli-Ahli Yang Berhormat berkaitan kes ini.
“Kementerian Luar Negeri akan meneruskan usaha untuk mengesan mereka dan menghulurkan bantuan yang sewajarnya.
“Sekiranya laporan telah diterima daripada mana-mana pihak termasuk ahli keluarga atau individu itu sendiri, Kementerian ini melalui Perwakilan Malaysia di Luar Negeri akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan bantuan untuk mengesan keberadaan mereka, memudahcara untuk melepaskan atau
menyelamatkan mereka daripada sindiket penipuan dan seterusnya penghantaran pulang mereka ke Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-BERUAS) yang ingin tahu jumlah rakyat Malaysia yang telah ditipu untuk ke luar negara
dan dipaksa atau melibatkan diri mereka dalam penipuan atas talian dalam lima tahun terkini (2020-2024).
Dalam pada itu, Muhammad turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan iklan-iklan tawaran pekerjaan di luar negara
yang menjanjikan gaji lumayan dan tidak realistik.
“Saya juga ingin memperingati orang ramai supaya jangan mengambil risiko demi tawaran gaji yang tinggi untuk pekerjaan yang tidak wujud kerana anda berkemungkinan akan meletakkan diri sendiri dalam keadaan yang amat bahaya.
“Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, semak tawaran pekerjaan tersebut dengan Kementerian Sumber Manusia, Perwakilan Malaysia di Luar Negeri atau pihak berkuasa yang lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE.