JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lagi lelaki yang dipercayai terlibat kejadian culik ahli perniagaan dengan menuntut wang tebusan RM20 juta di daerah ini, 13 Oktober lalu.
Suspek berusia 30-an itu ditahan di kawasan Senai, Kulai semalam menjadikan kesemua suspek yang ditahan adalah 11 individu termasuk ahli keluarga terdekat mangsa.
Terdahulu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nor Farhana Mohd. Ishak membenarkan tempoh tahanan reman terhadap 10 suspek berusia 30 hingga 50 tahun yang berakhir hari ini disambung tujuh hari lagi.
Manakala, suspek yang ditahan semalam turut direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 5 November depan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap kesemua suspek mengikut Akta Penculikan 1962.
Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar dilaporkan berkata, pihaknya telah menahan 13 individu berusia 23 hingga 58 tahun itu dalam beberapa siri tangkapan di sekitar negeri ini.
Beliau berkata, salah seorang daripada yang ditahan itu merupakan ahli keluarga mangsa.
“Daripada 10 lelaki itu, lapan merupakan warga tempatan dan dua lelaki warga asing manakala tiga wanita itu melibatkan dua wanita tempatan serta seorang wanita warga asing,” katanya. – KOSMO! ONLINE