fbpx

Lada hitam Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LADA hitam putik berwarna hijau adalah lebih segar.

HAMPIR satu jam penat meredah laluan tidak rata di Bukit Angin Melintang dekat Machang, Kelantan dengan kenderaan pacuan empat roda seakan-akan berbaloi apabila melihat kehijaun ladang lada hitam di kawasan itu.

Lokasi itu berada di kawasan bukit yang dikelilingi hutan pada ketinggian 500 meter dari aras laut di kawasan Ulu Sat, Machang telah diusahakan sejak enam tahun lalu kelihatan sudah membuahkan hasil yang banyak.Ribuan pokok lada hitam atau nama saintifiknya piper nigrum yang sebahagiannya sudah lebat berbuah di kawasan itu.

Antara jenis yang ditanam adalah lada hitam Semonggok Emas, Semonggok Aman dan Kuching.

Tanaman lada hitam itu merupakan satu-satunya projek yang diusahakan oleh keluarga Siti Khatijah Hamid, 52, dan suaminya, Sahadan Hamid, 54 secara komersial di Kelantan.

Berbekalkan kudrat mereka, sedikit modal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda lama,ia merupakan penyumbang utama dalam menjayakan impian keluarga tersebut untuk membuka ladang lada hitam pertama di negeri berkenaan.

Siti Khatijah merupakan salah seorang daripada sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (IAM) dari Kampung Saring, Pasir Puteh yang mengusahakan tanaman tersebut secara serius.

Menurutnya, setakat ini, dia dan suaminya telah menanam lebih 10,000 pokok lada hitam secara berperingkat di dalam kawasan seluas lima hektar yang masih dikelilingi hutan dara.

ANTARA produk lada hitam keluaran Ulu Sat Trading.

Katanya, Lembaga Lada Hitam Malaysia (LLHM) memberi bantuan kepadanya terutamanya daripada aspek teknikal termasuk menyediakan anak benih berkualiti dari Sarawak, Johor, Perak dan Terengganu.

“LLHM turut memberi bekalan baja yang diperlukan bagi pertumbuhan pokok. Selain itu, saya juga banyak mempelajari ilmu menanam lada hitam daripada seorang pengusaha berbangsa Cina yang sudah berjaya di Sarawak.

“Melalui pembelajaran dengan individu itu, saya banyak belajar kaedah penanaman awal, pengurusan ladang dan pembenihan anak benih baharu daripada pokok induk,” katanya ketika ditemui Panorama baru-baru ini.

Menurut Siti Khadijah, lada hitam yang diusahakannya itu sesuai ditanam di kawasan bersuhu bukit iaitu antara 18 hingga 22 darjah Celsius kerana ia penting untuk tumbesaran tanaman.

Katanya, setakat ini, dia sudah berkali-kali mengutip hasil tanaman sebelum dijual di pasar-pasar besar dan pengusaha restoran, selain diproses kering untuk dijual ke luar Kelantan.

Sementara itu, seorang penjual di Pasar Siti Hajar, Pasir Puteh, Karimah Ismail, 46, berkata, lada hitam yang putik turut mendapat permintaan daripada pelanggan untuk dijadikan sebagai ulam-ulaman.

Menurutnya, dia akan membeli lada hitam putik berwarna hijau dari ladang Siti Khatijah dua kali seminggu bagi memastikan pengguna mendapatkan stok yang segar selepas dipetik.

“Sebahagian pembeli tetap memaklumkan buah muda memang enak dibuat sambal untuk dimakan bersama nasi kerabu,” katanya.

Seorang lagi pemborong, Kamarudin Abdullah, 30, berkata, tempahan lada hitam kering dan lada sulah dibuat dalam kuantiti yang banyak untuk dijual secara dalam talian.

“Lada hitam dari Kelantan ini dipos ke seluruh negara yang sebahagian pelanggan membuat tempahan berulang,” ujarnya.

Katanya, kebanyakan pelanggan tetap terdiri daripada pengusaha kedai makan dari ibu kota yang menggunakan rempah tersebut untuk meningkatkan keenakan sup daging lembu dan kambing.

Mengulas lebih lanjut mengenai tanaman itu, cerita Siti Khadijah, dia melakukan kerja-kerja penanaman lada hitam secara sendirian dan bantuan anak-anak tanpa melibatkan pengambilan pekerja.

“Usaha untuk membangunkan ladang ini bukan perkara yang mudah. Ia perlu dilakukan di kawasan yang tinggi, malah keperluan ladang perlu diangkut dan tempat tinggal perlu dibina bagi menjaga keselamatan diri daripada sebarang gangguan binatang buas.

“Pernah satu ketika bangsal kami dirosakkan beruang. Nasib baik kami sekeluarga tidak bermalam di kawasan ladang ketika itu,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami hanya berteduh dan berkhemah di bawah pokok besar yang berdekatan sebelum berjaya membina penginapan yang diperbuat daripada buluh hutan pada peringkat awal membuka ladang.

“Air merupakan keperluan utama bukan hanya untuk tumbesaran pokok tetapi untuk kami mengurus diri, membasuh, memasak dan sebagainya.

“Kami membuat takungan dan tandak air di puncak bukit selepas mendapat nasihat pakar perubatan mengenai kualiti air daripada aliran mata air terjun,” katanya.

Beliau berkata, bekalan eletrik pula dijana menggunakan tenaga generator bagi memastikan kawasan itu tidak bergelap sekiranya bermalam di situ, selain membekalkan tenaga untuk memastikan alat komunikasi berfungsi terutama pada waktu kecemasan.

Katanya, hasrat dia dan keluarga untuk menjadi pengusaha tanaman ladang hitam pertama di Kelantan tercapai, namun mengakui masih belajar untuk memasarkan tanaman itu ke pasaran lebih besar.

SEBAHAGIAN kawasan tanaman lada hitam yang turut diuruskan Shahadan sebagai penggerak dan perancang membangunkan ladang lada hitam di Bukit Angin Melintang, Ulu Sat, Machang.

Menyentuh mengenai pulangan yang diperoleh menerusi tanaman itu, Siti Khadijah berkata, setakat ini dia sudah mendapat kembali modal pengurusan yang sudah melebihi RM200,000.

Katanya, tanaman itu berpotensi mendapat laba yang besar dalam tempoh beberapa tahun lagi, selain ia mampu mewujudkan industri hiliran berasaskan lada hitam.

Siti Khatijah memberitahu, sebatang pokok lada hitam mampu mengeluarkan hasil sebanyak 5 kilogram setahun dengan setiap kilogram yang sudah siap diproses boleh dipasarkan pada harga RM40 hingga RM50.

Selain lada hitam yang sudah masak menurutnya, buah muda yang berwarna hijau turut mendapat permintaan yang tinggi daripada pembeli yang gemar menjadikannya sebagai ulam-ulaman.

“Semaian anak benih daripada keratan batang turut memberi pulangan hasil apabila pokok yang matang perlu dipangkas. Keratan yang subur itu boleh disemai semua untuk tanaman kecil-kecilan atau hiasan rumah.

“Berdasarkan harga pasaran, satu polibag pokok semaian boleh dijual pada harga RM7 hingga RM8 bergantung kepada saiz dan ketinggian pokok,” katanya.

Selain Siti Khadijah dan suami, anak kedua pasangan itu, Muhammad Shah Sahadan, 25, banyak membantu usaha lain untuk membangunkan ladang itu.

Katanya, anaknya itu mempunyai kemahiran dalam bidang kejuruteraan eletrik dan tenaga solar telah membuat sistem pendawaian eletrik serta jejari bekalan air agar pokok dapat diurus dengan mudah.

“Kami berjaya menggunakan sistem solar bagi mendapatkan bekalan eletrik yang lebih sistematik selain menggunakan enjin penjana kuasa eletrik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI