fbpx

Anwar lancar Residensi Madani Putrajaya, seunit serendah RM200,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar melihat replika Residensi Sentral pada Majlis Peluncuran Residensi Madani Putrajaya di Putrajaya hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan projek perumahan Residensi Madani Putrajaya yang ditawarkan kepada rakyat untuk memiliki kediaman dengan harga serendah RM200,000 seunit.

Anwar berkata, pembangunan projek kediaman itu bertujuan menyediakan Perumahan Mampu Milik dalam kategori kos sederhana rendah kepada rakyat di Wilayah Persekutuan.

Katanya, ini merupakan salah satu usaha kerajaan membantu golongan sasar untuk memiliki kediaman yang selesa, persekitaran selamat, sihat serta menunjukkan keseriusan kerajaan membantu rakyat memiliki rumah.

“Jadi, harap jangan ada melewat-lewatkan (persiapan projek), melambatkan tiga bulan enam bulan itu mendera rakyat yang menunggu sehingga menyebabkan kos meningkat.

“Pastikan pengawasannya, kecepatan pelaksanaan projek dan kalau ada apa-apa masalah daripada sudut kerenah birokrasi, selesaikan secepat mungkin.

“Saya nak pecahkan tembok yang mempersulit, orang nak rumah kena tunggu, pemaju kosnya meningkat,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Residensi Madani Putrajaya di sini hari ini.

Sejumlah 4,000 unit Residensi Madani Putrajaya bakal ditawarkan kepada rakyat untuk memiliki kediaman dengan harga serendah RM200,000 seunit.

Tujuh projek pembangunan itu di sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dijangka siap dibina menjelang tahun 2028.

Tujuh projek Residensi Madani ini terletak di Presint 5, 7, 11, 16 dan 19 iaitu Residensi Madani Sentral, Serunai, Cemara, Cengkih, Cempaka, Mawar dan Melur.

Berkeluasan 800 kaki persegi dengan harga mampu milik, pelbagai kemudahan awam turut disediakan di dalam plot pembangunan ini seperti surau, dewan serbaguna, tadika, taska, ruang niaga, kemudahan gelanggang sukan dan taman permainan kanak- kanak serta tempat letak kereta berbumbung.

Tapak pembinaan ini juga berdekatan dengan Pusat Kejiranan iaitu Kompleks Kejiranan, Kompleks Sekolah, Taman-Tamaan Awam dan kemudahan pengangkutan awam dan MRT. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI