fbpx

Dewan Rakyat: Teknologi AI kesan pola dan potensi ancaman di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah - FOTO Jabatan Penerangan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Teknologi kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk menganalisis data bagi mengesan pola dan potensi ancaman yang mungkin berlaku di Sabah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, teknologi AI juga digunakan untuk melaksanakan pengesanan ancaman awal melalui algoritma sistem yang diguna pakai oleh APMM.

Ujar beliau, algoritma sistem menerusi Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) itu boleh mengesan tanda-tanda awal aktiviti yang mencurigakan.

“Data-data ini kemudian dikongsi dengan pelbagai pihak berkuasa lain supaya pengesanan awal dapat dilakukan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) berkenaan penggunaan teknologi AI dalam mengawal sempadan Sabah.

Terdahulu, Shamsul Anuar berkata, situasi semasa ancaman keselamatan di Sabah adalah terkawal menerusi atur gerak pengoperasian aset dan anggota pasukan keselamatan dan penguat kuasa serta pelaksanaan pelbagai inisiatif keselamatan.

Antaranya menerusi pelaksanaan Operasi Sanggah di bawah seliaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Operasi Gasak Laut dan Darat, Operasi Bersepadu dan Operasi Bersepadu Khas serta Operasi Pangkalan Pemeriksaan di Laut.

Malah kata beliau, sejak 2020 sehingga kini, tiada insiden penculikan dilaporkan berlaku di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE)

“Setakat 31 Ogos lalu, sistem SWASLA merekodkan 11,180 pengesanan di wilayah itu dengan 184 merupakan sasaran mencurigakan, manakala 21 tangkapan berjaya dilakukan.

“Secara umumnya, kita akan terus meningkatkan keupayaan kita walaupun kejayaan telah diperoleh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI