fbpx

Dewan Rakyat: Industri biojisim mampu jana ekonomi RM17 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Industri biojisim menerusi sektor agrikomiditi berasaskan sisa sawit dijangka mampu menjana ekonomi bernilai RM17 bilion dan pelaburan sebanyak RM7 bilion menjelang tahun 2030.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia bakal mewujudkan sebanyak 33,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor biojisim.

“Hal ini dijangka dapat mewujudkan 33,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor biojisim membabitkan industri penghasilan biopelet, penjanaan tenaga daripada biojisim, pulpa dan kertas, karbon terawat serta penghasilan biobaja,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd. Ramli (PN-Dungun) mengenai inisiatif memanfaatkan biojisim daripada sektor agrikomoditi bagi mencipta peluang pekerjaan baharu dan menggalakkan amalan ekonomi kitaran.

Johari menjelaskan, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) konsisten melaksanakan aktiviti kajian dan penyelidikan (R&D) teknologi hijau bertujuan mengenal pasti bahan sisa sawit untuk diintegrasikan semula dalam nilai rantaian sejajar dengan konsep ekonomi kitaran.

Sebagai contoh, katanya, tandan buah kosong (EFB), ‘mesocarp fibre’ dan hampas cengkerang sawit (palm kernel shell) adalah sisa biojisim sawit yang boleh menjana tenaga boleh diperbaharui.

“Bahan sisa ini akan dibakar di dalam dandang. Wap yang dihasilkan akan menggerak turbin untuk menjana tenaga elektrik yang dapat dimanfaatkan semula dalam kilang sawit,” jelas.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan bercadang memberi insentif kepada penternak ayam yang menggunakan makanan ternakan yang dihasilkan daripada sisa sawit sebagai makanan tambahan bagi haiwan ternakan.

Kata beliau, langkah itu sebagai sebahagian usaha untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada makanan ternakan import.

“Kita mahu menggalakkan menggunakan bahan sisa ini sebagai makanan tambahan kepada yang dibeli daripada luar negara seperti jagung dan kacang soya.

“Kita mahu memberi insentif supaya jika dia pakai lima hingga 10 peratus bahan ini, dia akan dapat insentif dari segi pengeluaran ayam ini dan kita mungkin akan nak galakkan.

“Jika ini ada penerimaan meluas dalam negara, maka banyak makanan import dapat dikurangkan kerana menggunakan asas kelapa sawit untuk makanan ayam,” katanya.

Selain itu, kata Johari, beliau menggalakkan kerajaan negeri berbincang dengan pemain industri sebelum membuat sesuatu pelaburan melibatkan industri sawit.

Katanya, MPOB pernah mewujudkan sebuah kilang menghasilkan makanan haiwan daripada sisa sawit sebelum ini, tetapi disebabkan lokasinya jauh dari industri penternakan menyebabkan ia gagal bertahan.

“Kos logistik perlu ditanggung untuk pemain industri membawa keluar bahan itu menyebabkan harga tidak kompetitif jika dibandingkan dengan makanan biasa dan akhirnya kilang itu ditutup.

“Pada masa akan datang, mana-mana kerajaan negeri hendak bekerjasama dengan agensi ini, saya alu-alukan dan saya sendiri akan terbabit tapi sebelum letakkan pelaburan, saya nasihatkan mesti berbincang dengan pemain industri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI