fbpx

3,597 kes dera kanak-kanak seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy (empat dari kanan) menurunkan tandatangan pada mural semasa Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak di SMK Abi di Kangar, hari ini.

KANGAR – Sebanyak 3,597 kes penderaan kanak-kanak berlaku di seluruh negara dari 2018 hingga tahun lalu dan dipercayai masih banyak kejadian tersebut yang tidak dilaporkan atas pelbagai faktor.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kes sebenar melebihi jumlah yang dilaporkan berikutan tindakan pihak tertentu menyembunyikan kejadian.

“Mungkin banyak lagi (kes) sebab kadang-kadang ia melibatkan keluarga sendiri. Kes tidak dilaporkan sebab itu kita tidak tahu.

“Jadi kita berharap seluruh masyarakat yang mengetahui hal seperti itu agar melaporkannya segera kepada pihak berkuasa, bantulah anak-anak ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak di Sekolah Menengah Kebangsaan Abi, di sini hari ini.

Kata beliau, kebanyakan pelaku bagi kes penderaan adalah orang yang dikenali kanak-kanak terbabit.

“Sebab itulah penting untuk kita belajar bagaimana mengenali apabila sesuatu tidak betul berlaku dan kepada siapa kita boleh minta bantuan,” ujarnya.

Menurutnya, program advokasi itu juga merupakan antara inisiatif kementerian dalam mendidik masyarakat tentang perlindungan kanak-kanak.

“Ia antaranya mengajar tentang apa yang perlu dilakukan jika seorang kanak-kanak berada dalam bahaya yang mana semua pihak boleh memainkan peranan masing-masing.

“Bukan sahaja polis tetapi guru, ibu bapa, jiran malah anda sendiri boleh memainkan peranan untuk melindungi antara satu sama lain dengan menjadi lebih peka dan bersuara,” jelasnya.

Tambahnya, kementerian menetapkan sasaran untuk menjalankan program berkenaan di 300 sekolah pada tahun ini.

“Setakat ini sebanyak 288 sekolah telah melaksanakan program seperti ini yang melibatkan 140,000 pelajar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI