GAYA jalanan yang merujuk kepada fesyen yang digayakan generasi muda lazimnya menampilkan rekaan pakaian bersaiz besar dengan siluet longgar.
Ikon fesyen dunia seperti Yohji Yamamoto dan Rei Kawakubo dari Jepun menjadi antara individu yang mempopularkan gaya tersebut yang masih lagi menjadi ikutan sehingga kini.
Sebagai sebuah jenama tempatan yang terkenal dengan busana sofistikated, label fesyen yang diasaskan oleh tiga beradik perempuan, Mimpikita baru-baru ini tampil memperkenalkan koleksi gaya jalanannya yang diberi sentuhan elegan.
Koleksi diberi nama Kita & Co x Schawal Capsule Collection itu merupakan kerjasama Mimpikita bersama pasangan selebriti terkenal, Scha Alyahya dan Awal Ashaari yang sinonim dengan gaya jalanan dalam versi lebih sofistikated.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Kreatif Mimpikita, Nurul Zulkifli berkata, koleksi tersebut merupakan terjemahan menarik untuk gaya jalanan yang segar dan sedikit berbeza.
“Bagi koleksi ini, kami menghasilkan busana streetwear yang sedikit menonjol dan tidak kelihatan terlalu basic.
“Kemasan seperti sulaman dan juga rekaan seperti tulisan yang stylish pada pakaian-pakaian ini adalah sebagai menjadikan koleksi ini berbeza daripada koleksi-koleksi gaya jalanan yang lain,” katanya.
Nurul menambah koleksi itu menampilkan jaket varsiti edisi terhad, kemeja bowler dalam rona coklat dan putih dan sweatshirt berpotongan baggy atau besar.
Menariknya, setiap busana ini juga adalah bersifat uniseks dan boleh digayakan oleh lelaki dan wanita.
“Ini sebagai sokongan kami terhadap inclusivity yang mana setiap busana ini boleh digayakan oleh semua dan tidak terhad kepada hanya satu jantina,” kata Nurul.
Bercakap tentang pemilihan fabrik pula, Nurul berkata, dia memilih fabrik seperti kapas yang selesa dan sesuai digayakan dalam cuaca tropika di Malaysia.
Mengakui gaya jalanan adakalanya sukar digayakan oleh kerana potongannya yang besar berbanding pakaian lain, Nurul berkata, tip yang boleh diberikan adalah untuk memadankan baju yang besar dengan seluar berpotongan sedikit kecil.
“Gaya ini adakalanya tidak sesuai digayakan oleh semua dan oleh sebab itu kita perlu memadankannya dengan sesuatu yang kecil untuk mengimbanginya.
“Namun, saya pula secara peribadinya sesuai untuk menggayakan pakaian baggy bersama seluar baggy, jadi apa yang saya buat adalah memilih sepatu dengan rekaan tirus di depan untuk look yang lebih seimbang.
“Apa pun, yang penting adalah keyakinan kerana jika kita yakin, apa pun yang digayakan pasti akan nampak sesuai dan cantik,” kongsinya.
Mengulas tentang pemilihan dan kerjasama bersama pasangan selebriti Scha dan Awal bagi koleksi ini, Nurul berkata, ia merupakan satu kerjasama yang sudah lama diimpikannya.
“Bagi kami, Scha dan Awal ini merupakan pasangan suami isteri yang mana fesyen mereka itu sentiasa menjadi inspirasi.
“Justeru, selepas membuat perbincangan bersama staf kami khususnya bersama generasi muda atau gen Z, kami sepakat memilih Scha dan juga Awal untuk menerajui kempen ini,” katanya.