fbpx

Wanita warga emas didakwa miliki 38 buku berkaitan Abuya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 38 buah buku berkaitan bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad atau Abuya.

Bagaimanapun, tertuduh, Aisyah Bula Tajudin, 60, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.

Mengikut pertuduhan, Aisyah didapati dalam milikannya tanpa sebab yang munasabah sebanyak 38 buku hasil penerbitan larangan.

Antaranya bertajuk Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya, Darul Argam 25 tahun perjuangan Abuya Sheikh Imran Ashari Muhammad At-Tamimi, menangani ancaman Al-Arqam dan Aurad Muhamadiah pegangan darul Al-Arqam.

Kesalahan itu didakwa sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala di sini pukul 11.30 pagi pada 21 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sabri Othman mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin.

“Terdapat 38 penerbitan dilarang sebagaimana yang diwartakan kerajaan dan pengharaman memiliki penerbitan tersebut telah diuar-uarkan oleh media massa, akhbar dan televisyen. Selama tiga dekad pengharaman tersebut, namun masih ada individu sembunyi dan memiliki item berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Boestamam Ahmad yang mewakili Aishah memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak bekerja selain menjaga suaminya mengalami sakit strok.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Farah Nabihah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berlainan, seorang lelaki usahawan katering, Mohammad Nazif Jamluddin, 49, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dua hasil penerbitan larangan iaitu Perang Teluk Islam akan Kembali Gemilang dan Meruntuh Berhala di Tiongkok.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ekhwan Catering, Kampung Sungai Penchala di sini pada pukul 10.30 pagi, pada tarikh sama dan mengikut akta serta hukuman serupa seperti Aishah.

Majistret S. Mageswary kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sama ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI