PASIR PUTEH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas pelbagai barangan harga kawalan yang dijual melebihi harga maksimum berjumlah RM5.2 juta menerusi pemeriksaan dan pemantauan bermula Januari hingga Oktober lalu.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, rampasan itu turut melibatkan kesalahan gagal meletak tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal dan tidak meletakkan tanda harga pada barangan yang dipamerkan untuk jualan.
Menurutnya, sebanyak RM182,850 kompaun dikeluarkan kepada peniaga yang didapati melakukan kesalahan itu sepanjang tempoh tersebut.
“Sebanyak 65,131 pemeriksaan dijalankan di pelbagai premis perniagaan dilaksanakan sejak awal tahun ini, manakala 995 aduan telah diterima KPDN Kelantan berhubung kesalahan tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Selain itu, Azman memberitahu, pihaknya akan membuat pengaktifan secara berpusat di seluruh cawangan pentadbiran di Pasir Mas, Kuala Krai dan Tanah Merah sebagai persiapan untuk berdepan musim banjir bagi memastikan kegiatan menyembunyikan barangan kawalan tidak berlaku. – KOSMO! ONLINE