MACHANG – Seorang kontraktor insaf selepas dua kali meringkuk di dalam penjara atas kesalahan mencuri dan mengambil wang lebih RM115,000 milik syarikat dia bekerja selepas terdesak untuk menyara keluarga dan kegunaan sendiri, tujuh tahun lalu.
Lelaki yang mahu dikenali sebagai Mat, 41, berkata, pengalaman dua kali meringkuk dalam penjara membuatkan dia sudah insaf dan serik untuk mengulangi kesilapan tersebut pada masa depan.
“Kesalahan pertama itu dilakukan pada 2017 selepas menyeleweng wang syarikat berjumlah RM70,000. Ia menyebabkan saya dijel tiga tahun selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Selepas keluar penjara, saya masih lagi diterima bekerja di syarikat sama.
“Saya berani mengulangi kesilapan sama buat kali kedua dengan menyeleweng sejumlah RM45,000. Kesalahan kedua itu saya lakukan kira-kira dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Sempena Perayaan Deepavali di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mat memberitahu, disebabkan berkelakuan baik dan mengikut semua peraturan di penjara, dia dibebaskan lebih awal, biarpun mengikut hukuman asal, dia sepatutnya dibebaskan pada tahun depan.
“Selepas ini, saya akan bekerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur yang sudah pun diuruskan pihak majikan. Janji saya pada diri sendiri untuk tidak mengulangi kesalahan sama. Lagi pun saya masih bujang dan perlu menyara emak berusia 70-an dan ayah berusia 80-an yang kini menghidap penyakit jantung,” katanya. – KOSMO! ONLINE