SEPANG – DAP menyifatkan permohonan maaf dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak membawa apa-apa makna.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, bekas Perdana Menteri itu sudah pun dibuktikan bersalah oleh mahkamah, malah telah dijatuhkan hukuman.
“Ini bukan soal terima apa-apa permohonan maaf. Permohonan maaf atau tidak, jenayah tetap jenayah. Dia (Najib) telah pun disabitkan dan dibuktikan oleh mahkamah serta didapati bersalah. Itu adalah fakta.
“Jadi pada saya, permohonan maaf itu tidak bawa apa-apa makna,” katanya ketika ditemui di majlis perasmian DHL Express Kuala Lumpur Gateway, di Kompleks Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Najib membuat permohonan maaf berhubung salah laku dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibacakan oleh anaknya Datuk Mohamad Nizar.
Bekas Perdana menteri itu kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low. – KOSMO! ONLINEh