KUALA LUMPUR – Seramai 1,393 guru termasuk 183 di Sarawak terlibat dalam Program Duta Guru (PDG) Yayasan Petronas (YP) Kementerian Pendidikan (KPM) setakat ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pogram itu bertujuan memperkasakan 4,500 guru Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam meningkatkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) murid melalui pendidikan STEM menjelang 2030.
“KPM sentiasa menyokong guru dengan menyediakan Program Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPPB) untuk guru bidang STEM.
“Sejak tahun 2019, KPM menumpukan kepada pembangunan kompetensi guru dengan memperkenalkan Inquiry-Based Science Education (IBSE) dan Inquiry-Based Mathematics Education (IBME)
“Di Sarawak, seramai 1,534 orang guru telah menerima latihan dalam IBSE dan 44 orang guru telah menerima latihan dalam IBME,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) berkenaan kemasukan pelajar ke aliran STEM di Sarawak dah perancangan KPM untuk memastikan pelajar meminati aliran STEM.
Dalam pada itu, Kah Woh berkata, antara langkah strategik KPM bagi meningkatkan minat murid dalam bidang STEM dengan menggalakkan pembelajaran STEM yang bermakna.
Menurut beliau, strategi lain adalah menyediakan peluang untuk murid mengembangkan bakat dan potensi melalui aktiviti kokurikulum bidang STEM pada pelbagai peringkat.
Tambah beliau, pendekatan lain adalah mengutamakan pembangunan kompetensi pemimpin sekolah, guru bidang STEM, Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP)
“Mereka bentuk semula ruang pembelajaran yang luwes dan inklusif, membangunkan pentaksiran pembelajaran STEM yang inovatif dan holistik, mengukuhkan kerjasama strategik bagi melestarikan ekosistem dan menubuhkan Pusat Pendidikan STEM,” katanya.
Terdahulu, katanya, selepas pakej mata pelajaran bidang STEM di diperkenalkan pada tahun 2020, peratus enrolmen murid STEM di Sarawak adalah 30.50 peratus (2021), 33.91 peratus (2022) dan 34.66 peratus (2023). – KOSMO! ONLINE