fbpx

Isteri silap cam mayat suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Julio Sarmiento mengejutkan isterinya apabila muncul empat hari selepas upacara pengebumian untuknya di Honduras. - MailOnline

TEGUCIGALPA, Honduras – Seorang lelaki di Honduras yang sebelum ini diisytiharkan mati dilaporkan pulang ke rumahnya, selepas empat hari majlis pengebumiannya diadakan, lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.

Identiti Julio Sarmiento yang berusia 65 tahun dilaporkan tertukar dengan seorang mangsa wabak koronavirus ketika isterinya, Victoria membuat pengecaman mayat di hospital.

Terdahulu, Victoria membawa dokumen pengenalan Julio ke Hospital de Occidente di Santa Rosa de Copan selepas suaminya gagal pulang ke rumah sejak beberapa hari lalu.

Seorang kakitangan hospital memberitahu Victoria bahawa suaminya telah mati akibat komplikasi Covid-19.

Wanita itu dilaporkan mengecam mayat lelaki itu sebagai suami sendiri sebelum mayat dilepaskan untuk proses pengebumian.

Victoria telah membayar £320 (RM1,750) untuk perbelanjaan pengebumian termasuk memindahkan mayat lelaki itu sejauh 48 kilometer dari hospital ke kampung halamannya di San Nicolas, Copan.

Empat hari kemudian, Julio tiba di rumahnya selepas mengalami kecederaan di sebuah ladang di bandar berdekatan, Trinidad.

Victoria menuntut pihak hospital membayar ganti rugi atas perbelanjaan pengebumian dengan alasan menyerahkan mayat yang salah kepadanya.

“Saya mahu pihak hospital mengembalikan sebahagian wang yang saya belanjakan untuk majlis pengebumian kerana mereka menyerahkan mayat yang saya tidak kenal,” kata Victoria kepada akhbar LaPrensa Hondura.

Pengarah hospital, Juan Carlos Cardona berkata, kesilapan berpunca daripada Victoria sendiri kerana tersilap mengecam Julio di bilik mayat.

“Kami memberi pelepasan mayat kerana Victoria mengesahkan bahawa mayat itu adalah suaminya dan semua proses dilakukan mengikut protokol keselamatan yang betul,” katanya.

Menurut Cardona, pihak hospital menyimpan semua dokumen penting jika insiden ini bertukar menjadi kes saman. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI