fbpx

GISBH: Ada kes berebut anak, siasatan terperinci tentukan penjaga layak – Nancy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy (duduk,tengah) bergambar bersama warga pendidik dan pelajar selepas melancarkan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak di SMK Abi di Kangar, hari ini.

KANGAR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu menyiasat secara terperinci setiap permohonan menuntut kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global bagi mengelak mereka diserahkan kepada pihak salah.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, segala proses dilakukan dengan teliti termasuk mendapatkan perintah mahkamah sebelum kanak-kanak GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dapat diserahkan kepada ibu, bapa atau keluarga yang layak.

Katanya, setakat ini seramai 54 daripada 560 kanak-kanak yang ditempatkan di pusat perlindungan telah diserahkan kepada keluarga masing-masing dan terdapat 68 permohonan sedang dalam proses untuk dikemukakan kepada mahkamah.

“Mereka ini diambil pihak polis bersama JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) di tempat yang bukan mereka bersama ibu bapa, jadi kita tidak tahu siapa ibu bapa mereka sebenar.

“Sehubungan itu kita perlu jalankan siasatan dahulu, bayangkan kalau kalau anak itu kita serah kepada sesiapa sahaja yang menuntut, selepas itu salah. Ada satu kes ibu bapa berebut (anak), jadi pegawai kita perlu temu bual dan siasat lanjut,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak di Sekolah Menengah Kebangsaan Abi, di sini hari ini.

Selain itu, kata beliau, terdapat juga kanak-kanak yang tidak mengenali ibu bapa mereka dan sebaliknya.

“Proses siasatan dan dokumentasi perlu lengkap kerana kita tidak tahu siapa ibu bapa mereka sebenar. Kalau dengar polis kata, dia ada berapa isteri dan anak tetapi dia hanya kenal dua sahaja, jadi macam mana kita nak tahu yang mana betul-betul orang tuanya,” ujarnya.

Jelasnya, pihaknya tidak sesekali mahu memisahkan kanak-kanak terlibat daripada ibu bapa masing-masing, namun perlu bertindak mengikut lunas undang-undang.

“Kita faham ada ibu bapa marah kepada kita kerana nak memisahkan ibu dan anak. Kalau boleh sekarang pun kita nak hantar, tetapi kita perlu siasat dan dapatkan perintah mahkamah dahulu.

“Bukan mudah kepada pegawai kita terpaksa bekerja lebih masa menjaga mereka ini termasuk ada dalam kalangan mereka ini OKU (orang kelainan upaya) yang perlu dijaga dengan teliti terutama yang autistik,” katanya.

Tambahnya, pihaknya mengalu-alukan ibu bapa dan keluarga supaya membuat permohonan menuntut kembali kanak-kanak terlibat.

Seramai 560 kanak-kanak berkaitan GISBH melibatkan 283 lelaki dan 277 perempuan ditempatkan di pusat perlindungan setelah JKM mendapat perintah jagaan sementara daripada mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-kanak 2001. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI