fbpx

Suami isteri diperdaya ‘Datuk’ sindiket pelaburan ‘freezer’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ali (dua kiri) dan Hishamuddin (tengah) menunjukkan laporan polis berkaitan skim pelaburan freezer pada sidang akhbar, hari ini. - Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri mengalami kerugian sebanyak RM288,800 selepas terperdaya dengan sindiket pelaburan ‘freezer’ (peti sejuk beku) yang dipercayai dimiliki seorang individu bergelar Datuk.

Menurut mangsa yang ingin dikenali sebagai Ali, 57, berkata, dia ditawarkan dengan pulangan dividen yang menguntungkan serta pelbagai manfaat lain bagi menyertai skim pelaburan tersebut.

“Syarikat ini tawarkan pelaburan membeli freezer dengan harga RM11,000 seunit bagi tujuan pelaburan dan akan berikan dividen RM800 kepada pelabur setiap bulan.

“Saya difahamkan, freezer yang dibeli oleh syarikat ini akan digunakan di beberapa pasar raya tempatan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ali berkata, permasalahan mula timbul apabila dia dan isteri tidak menerima pembayaran dividen sepertimana yang dijanjikan.

“Saya dan isteri melabur sebangak 28 unit freezer. Kami buat pelaburan sebanyak empat kali iaitu pada Februari 2022 serta pada Jun, Julai dan September tahun lalu.

“Daripada kesemua pelaburan itu, saya hanya terima 24 kali bayaran berjumlah RM19,200,” jelasnya.

Katanya, kali terakhir dia menerima bayaran dividen adalah pada Oktober tahun lalu dan sehingga kini gagal mendapatkan maklum balas daripada pihak syarikat berkenaan.

“Jadi sekarang, saya tak tahu sama ada freezer ini betul-betul wujud dan digunakan di pasar raya atau hanya dalam kertas sahaja.

“Sebab pihak syarikat juga tidak pernah tunjuk sebarang salinan dokumen berkaitan pengurusan freezer yang dibeli,” tambahnya.

Justeru, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, beliau berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan terhadap syarikat terbabit.

“Kita hanya mengesyaki bahawa terdapat elemen-elemen untuk melakukan siasatan sama ada daripada pihak polis, Bank Negara (BNM) Dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Ini kerana, sebuah syarikat sendirian berhad tidak boleh menerima dana awam dan perlu mendapatkan lesen dan kebenaran jika ingin menawarkan skim pelaburan,” katanya.

Tambah Hishamuddin, seandainya pelaburan itu tidak wujud, maka syarikat itu boleh didakwa di bawah Seksyen 4(1) kerana menerima wang daripada aktiviti haram. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI