KUANTAN – Sebanyak RM815 juta diperuntukkan kepada sektor koperasi tahun hadapan akan digunakan Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Berhad (Kopenas) melaksanakan pelbagai aktiviti perniagaan.
Pengerusi Kopenas Berhad, Jumat Mat Lani berkata, peruntukan berkenaan bakal membuka ruang untuk Kopenas memperluaskan lagi perniagaan serta meningkatkan daya saing di peringkat nasional.
“Saya yakin dengan memanfaatkan sepenuhnya peluang ini kita akan terus berkembang dan memberikan sumbangan yang lebih besar kepada anggota dan masyarakat dan sebagai sebuah koperasi berwawasan, Kopenas juga komited untuk mencapai objektif Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030).
“Melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak kita sedang melaksanakan transformasi yang akan memperkukuhkan kedudukan ekonomi koperasi kita dan seterusnya memberikan impak positif kepada ahli-ahli,” katanya pada majlis pelancaran 40 tahun Kopenas yang disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di sini hari ini.
Menurut Jumat sejak penubuhan pada 1984, Kopenas telah berpegang kepada misi yang jelas dengan memberikan perkhidmatan kredit terbaik kepada anggotanya, khususnya dalam kalangan kakitangan Kementerian Pendidikan.
Jelasnya, sepanjang empat dekad berkenaan, Kopenas telah berkembang pesat dari segi keahlian dan perkhidmatan sekali gus menjadi salah satu koperasi terbesar di sektor pendidikan.
Beliau memberitahu Kopenas terus berdaya saing lebih-lebih lagi dalam menjana pendapatan memberangsangkan sehingga mencecah lebih RM7 juta melalui aktiviti kredit pada tahun lalu.
“Pada tahun ini Kopenas telah mengukir satu lagi pencapaian yang membanggakan apabila berjaya menduduki tempat ke-59 dalam senarai 100 koperasi terbaik Malaysia.
“Pengiktirafan ini adalah hasil daripada pengurusan yang cekap dan komitmen kita untuk terus menambah baik prestasi koperasi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE