JOHOR BAHRU – Kawalan pergerakan rentas negeri dan daerah antara cadangan yang dikemukakan Kementerian Kesihatan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah untuk melandaikan semula lekuk penularan Covid-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kes jangkitan sporadik akibat aktiviti rentas negeri dan daerah dikesan menjadi menyumbang kepada peningkatan kes secara mendadak.
Menurutnya, berdasarkan data kumulatif terkini, kes sporadik iaitu jangkitan dalam kalangan komuniti mencatatkan angka 50 peratus di samping kes-kes positif melibatkan bukan warganegara.
“Kementerian bukan sekadar melihat trend dalam negara tetapi juga kepada senario luar negara yang mendapati jangkitan Covid-19 menular secara pantas termasuk di England dan Amerika Syarikat serta beberapa negara lain.
“Justeru, kita sudah memberi cadangan untuk menghadkan pergerakan rentas daerah dan negeri kerana kes-kes jangkitan kebelakangan ini terjadi kerana aktiviti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Pusat Pengumpulan Darah Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Chen Chaw Min; Pengarah Cawangan Kesihatan Jabatan Kerja Raya (JKR), Azman Md. Hashim dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Aman Rabu.
Tambah Adham, pihaknya juga menasihatkan MKN supaya memperketatkan prosedur standard operasi (SOP) sedia ada serta penguatkuasaan yang lebih tersusun dan rapi agar dapat mengawal jangkitan kes baharu Covid-19.-K! ONLINE