fbpx

Tol percuma bermula tengah malam ini sempena Deepavali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma pada 29 dan 30 Oktober ini bagi membolehkan pengguna lebuh raya berbilang kaum terutamanya masyarakat India beragama Hindu untuk menyambut perayaan Hari Deepavali 2024.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian tol percuma itu akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya bermula pada pukul 12.01 tengah malam, 29 Oktober dan akan berakhir pada pukul 11.59 malam, 30 Oktober.

“Kos pemberian tol percuma yang dianggarkan sebanyak RM38 juta akan ditanggung oleh Kerajaan dengan bayaran pampasan dibuat kepada semua syarikat konsesi tol yang terlibat.

“Pengecualian tol akan diberikan hanya kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dan Tol Tanjung Kupang, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) Johor Darul Takzim,” katanya di sini hari ini.

Selain itu beliau berkata, pemberian tol percuma itu adalah selaras dengan teras utama Kerajaan Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat di samping mengukuhkan budaya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Semoga pengguna lebuh raya memanfaatkan peluang ini sebaiknya dan dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan sewajarnya untuk melancarkan pergerakan melalui panduan disediakan.

“Saya mewakili Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan semua Syarikat Konsesi Lebuh Raya memohon supaya semua pengguna jalan raya memandu dengan berhemah mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar pengguna jalan raya berehat sekiranya keletihan dan mengantuk.

“Bersama-samalah kita semua bekerjasama dalam menjadikan lebuh raya kita selamat, bersih dan selesa serta mengurangkan statistik kemalangan jalan raya Malaysia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI