KUANTAN – Dua pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) Kuantan maut selepas motosikal jenis Yamaha 135LC dinaiki mereka terbabas di Jalan Pintasan Kuantan di sini tengah malam semalam.
Mangsa yang maut ialah penunggang motosikal, Muhammad Nor Iman Mahadi, 20, dan pembonceng motosikal Muhammad Adib Suhail Jaeh, 20.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah malam itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan ke Loji menghala ke Taman Dato’ Rashid.
“Apabila sampai di tempat kejadian ketika sedang bergerak lurus tiba-tiba dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas di jalan raya.
“Akibat kemalangan tersebut penunggang pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah alan lurus. Sistem jalan dua lorong satu hala. Permukaan jalan rata dan jalan kering. Tahap pencahayaan gelap diterangi lampu jalan waktu malam dan cuaca baik semasa sampai di tempat kejadian. – KOSMO! ONLINE