fbpx

Warga emas Thailand dicekup bawa 5kg ganja dalam van

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah van jenis Toyota Hiace dipandu seorang lelaki Thailand yang ditahan di depan sebuah stesen minyak di Salor, Kota Bharu semalam. FOTO IHSAN PGA

KOTA BHARU – Seorang lelaki warganegara Thailand dicekup selepas didapati membawa lima kilogram (kg) dadah jenis ganja mampat bernilai lebih RM16,014 di dalam sebuah van di depan sebuah stesen minyak di Salor, di sini semalam.

Warga emas yang berusia 67 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.40 tengah hari semasa anggota Batalion 7, Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan rondaan rutin menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, anggota PGA menahan sebuah van jenis Toyota Hiace bernombor pendaftaran Thailand dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap van tersebut menjumpai sebanyak lebih lima kg dadah jenis ganja mampat.

Sebanyak lima kg dadah jenis ganja mampat yang dirampas selepas anggota PGA menahan sebuah van di depan sebuah stesen minyak di Salor, Kota Bharu semalam. FOTO IHSAN PGA

“Selain itu, dua unit telefon bimbit bernilai RM3,500 dan satu pas sempadan Thailand turut dirampas bersama suspek.

“Warga emas itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk tindakan lanjut. PGA terus mempergiat usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dadah daripada terus berleluasa di dalam negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI