PETALING JAYA – Seorang pelajar cemerlang terpaksa menangguhkan pengajian ke universiti disebabkan bapa sakit selain kekangan kewangan kerana kemiskinan keluarga.
Kisah sedih itu dikongsikan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran ringkas pada Facebook.
“Sedih saya menerima berita perihal pelajar cemerlang dengan CGPA 3.5 dari Matrikulasi terpaksa tangguhkan belajar ke universiti.
“Sebab ayah sakit, keluarga miskin dengan 11 adik-beradik,” katanya ringkas hari ini.
Hantaran itu mendapat simpati orang ramai selain ada yang berkongsi kisah sama dan ia mendapat perhatian beliau.
“Dalam pengetahuan saya ada bekas pelajar MRSM Jeli cemerlang 8A terpaksa tolak tawaran kerana miskin. Sekarang khabar bekerja,” komen Abu Talib Ismail.
Asyraf Wajdi kemudian meminta pengguna Facebook tersebut memberikan maklumat berkenaan pelajar itu.
“Bagi maklumat pada saya,” katanya membalas di ruangan komen.
“Memang ramai. Anak saya di Matrikulasi selalu bagi tahu kawan-kawan makan mi segera untuk jimat belanja. Ada yang makan nasi sekali sehari. Ada yang bawa sambal, curi-curi masak nasi dan makan dengan sambal dibekalkan oleh ibu bapa. Sedih bila mendengarnya,” cerita Nur Asiah Long.
“Pelajar macam ni yang perlu dibantu. Semoga Allah permudahkan segala urusan dan diberi perhatian oleh pihak berwajib,” kata AIW Rafidah.
“Berpakat main peranan rakan, guru, jiran, ketua kampung, wakil rakyat, tok imam dan lain-lain sama-sama cakna supaya tak ada keciciran lagi. Kasihan anak-anak ni,” saran Suzane Aminuddin. – KOSMO! ONLINE