BURIRAM – Pelumba Ducati, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia terus menjadikan persaingan merebut gelaran juara dunia Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini terus terbuka apabila merangkul kemenangan pada perlumbaan Grand Prix Thailand di Litar Antarabangsa Chang, Buriram sebentar tadi.
Bermula di petak pertama, Pecco ketinggalan di awal perlumbaan apabila seterunya dari Pramac Racing, Jorge Martin yang bermula di petak ketiga berjaya memimpin perlumbaan dalam keadaan litar yang basah dengan kelompok tiga pelumba di hadapan turut disertai oleh pelumba Gresini Racing, Marq Marquez.
Martin yang memulakan perlumbaan dengan kelebihan 22 mata untuk kategori kejuaraan dunia pelumba berdepan tentangan sengit memaksanya melakukan kesilapan pada pusingan kelima menyebabkan dia dipintas Pecco dan Marquez yang berjaya mengambil kesempatan.
Bagaiamanapun, Martin bernasib baik untuk merampas kedudukan No. 2 apabila Marquez hilang kawalan jenteranya dan terjatuh pada pusingan ke-14 sekali gus menyaksikan Pecco tidak berdepan cabaran sengit untuk menamatkan perlumbaan itu dengan kemenangan dan merapatkan jurang kepada 17 mata.
Pecco yang meraih kemenangan grand prix kesembilan musim ini dan terbaik sepanjang kariernya juga turut membantu Ducati untuk muncul juara bagi kategori pengeluar untuk musim ini berbaki dua lagi perlumbaan selepas jentera pengeluar Itali itu meraih 16 kemenangan dalam 17 perlumbaan setakat ini.
Sementara itu, Pedro Acosta melengkapkan podium di tempat ketiga selepas pertarungan hebat di pusingan terakhir bersama Jack Miller dan Fabio Di Giannantonio. – KOSMO! ONLINE