PENGENDALI Kuching City, Aidil Sharin Sahak melontarkan cabaran buat pemainnya supaya kekal konsisten bagi mengintai peluang untuk menamatkan saingan Liga Super musim ini di kelompok lima terbaik selepas menewaskan KL City 3-1 kelmarin.
Sambil mengakui rasa puas dengan tahap disiplin anak buahnya, jurulatih dari Singapura itu sedar cabaran lebih sukar menanti pasukan memandangkan pencabar lain mula waspada dengan kualiti yang ada Kuching City.
“Kredit perlu diberikan kepada pemain kerana ketika kami hilang seorang pemain, mereka tidak putus asa dan berjaya mendapatkan gol ketiga. Kami bangga dengan kedudukan sekarang, tetapi ini adalah saingan liga di mana setiap minggu kedudukan akan berubah.
“Semua pasukan sedang berikan saingan dan saya fikir sekarang orang mula waspada dengan kami. Saya yakin kualiti bertahan kami bertambah baik namun saya juga harap pemain dapat kekalkan disiplin dan terus mengekalkan konsisten,” katanya.
Kesemua gol Kuching City terhasil menerusi jaringan sendiri pemain lawan, Giancarlo Gallifuoco, Petrus Shitembi dan Tchetche Kipre manakala jaringan saguhati KL City dijaringkan oleh Paulo Josue.
Bagaimanapun tuan rumah terpaksa menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain apabila James Okwuosa dan Kipre dilayangkan kad merah.