MANCHESTER – Biarpun pasukannya berjaya meraih kemenangan untuk mengekalkan rekod tanpa kalah, pengendali Manchester City, Pep Guardiola lebih cenderung untuk memuji aksi yang dipamerkan pasukan lawan, Southampton.
Pada aksi yang berlangsung di Etihad kelmarin, City berjaya meraih tiga mata penuh menerusi kemenangan 1-0 hasil jaringan Erling Haaland selepas lima minit perlawanan dimulakan, namun mereka kemudian gagal menambah jaringan sepanjang aksi tersebut.
Biarpun sedang berdepan kesukaran terperosok di kedudukan tercorot Liga Perdana Inggeris, Southampton berjaya menunjukkan keberanian dan memiliki beberapa peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan, malah berjaya menguasai permainan pada babak pertama.
“Mereka berjaya menguasai permainan dan itu menunjukkan mereka adalah pasukan yang bagus. Jika Erling dan rakan-rakan lain tidak banyak berlari pada perlawanan ini, kami akan berdepan masalah. Ia bukan kerana kami bermain buruk, tetapi mereka sangat bagus.
“Kami menerima dan belajar daripada perlawanan ini. Mungkin pada masa depan kami perlu menggunakan cara yang sama seperti mereka, sebagai pengurus saya banyak belajar daripada pasukan lawan. Apa yang mereka lakukan sangat baik,” katanya.
Sebaik babak kedua bermula, City berjaya mengimbangi perlawanan dan mengakhiri perlawanan dengan hanya memberikan 42 peratus penguasaan buat Southampton, namun Guardiola mengakui pasukannya bernasib baik meraih kemenangan itu.
“Ia bukan perlawanan yang mudah, tetapi kami berjaya mencipta peluang untuk meraih kemenangan yang lebih selesa. Saya sukakan kemenangan ini kerana dalam dua perlawanan lalu kami berdepan Wolves dan Southampton yang terdesak memerlukan kemenangan.
“Namun, kami masih mampu menang. Tetapi, anda boleh melihat sendiri betapa saingan EPL adalah sukar kerana semua pasukan mempunyai peluang untuk menang walaupun mereka berada di kedudukan bawah liga,” jelasnya. – AGENSI