PETALING JAYA – Tiga individu nyaris rentung apabila sebuah kereta jenis Honda Accord dinaiki mereka terbakar di Kilometer 50, Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dekat sini, tengah malam tadi.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.26 tengah malam berhampiran susur masuk ke Sri Petaling, bagaimanapun pemandu lelaki bersama dua rakan wanitanya berjaya menyelamatkan diri.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan, sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil dan BBP Sri Petaling bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, anggota mendapati terdapat sebuah kereta Honda Accord terbakar sebelum api berjaya dipadam kira-kira pukul 1.09 pagi.
“Kereta terbabit itu terbakar 100 peratus dan pemandu lelaki serta dua penumpang berusia lingkungan 20-an berjaya menyelamatkan diri selain MyKad pemandu turut terbakar di dalam kenderaan itu,” katanya.
Tambah PGO JBPM Kuala Lumpur, semua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE