TEMERLOH – Barisan Nasional (BN) akan menyenaraikan calon untuk diketengahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 lebih awal sebagai persediaan mencari calon yang tepat dalam mendapat sokongan rakyat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon-calon berkenaan akan dikenal pasti oleh pengerusi badan perhubungan UMNO negeri dan akan diberikan latihan dan dipantau sebelum dipilih sebagai calon.
“Kita telah menubuhkan sekolah politik di bawah biro latihan dan perkaderan UMNO Malaysia dan kita akan melatih bakal calon-calon yang kita telah kenal pasti yang mana di situ mereka akan dilatih dengan beberapa teori dan amali kepemimpinan.
“Kita akan menilai prestasi mereka sewaktu mereka menghadiri sekolah politik berkenaan dan kita akan bawa senarai mereka itu ke bawah untuk kita lihat siapakah yang boleh memenangi sesuatu kerusi itu dan penerimaan pengundi serta juga bagaimana seseorang itu disukai pengundi-pengundi,” katanya pada Konvensyen BN Pahang sempena sambutan Ulangtahun Jubli Emas ke-50 BN di Dewan Tun Abdul Razak, di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, penubuhan sekolah politik berkenaan diputuskan dalam mesyuarat majlis tertinggi UMNO dua bulan lalu dan penyusunan program telah dilakukan serta akan diperincikan dalam masa terdekat.
Beliau berharap pendekatan baharu itu akan lakukan di seluruh negara dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan mengetuai bersama-sama dengan kepimpinan sekolah politik yang akan mengadakan kursus atau latihan itu di Institut Latihan dan Memperkasa Ummah (ILMU).
Dalam pada itu beliau berkata, pemilihan calon yang dibuat pihaknya tidak akan mengenepikan golongan muda sebagai pemimpin pelapis yang menjadi kesinambungan kepimpinan negara.
Bagaimanapun katanya, kombinasi antara pemimpin lama, baharu, pemuda dan wanita seperti yang ada di Pahang dilihat sebagai contoh terbaik dalam memastikan kestabilan politik dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Sementara itu, beliau menaruh keyakinan BN akan bangkit semula dan Pahang akan terus menjadi kubu kuat BN dalam pilihan raya umum akan datang.
Tegasnya, hasrat Perikatan Nasional (PN) untuk menawan Pahang dalam pilihan raya umum akan datang tidak akan berhasil kerana BN telah mengatur langkah awal dalam mendapat sokongan rakyat.
“Pilihan raya umum akan datang jangan pernah ambil mudah, kena kerja kuat dekati rakyat, buta warna bagi bantuan dan maafkan mereka yang memberi kesilapan undi parti lain Pilihan Raya Umum yang lalu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE