fbpx

4,757 warga APMM selesai tandatangan SSPA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian anggota Maritim Malaysia selesai menandatangani opsyen SSPA, baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Seramai 4,757 warga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selesai menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), sekali gus menyokong usaha kerajaan memperkasakan perkhidmatan awam.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, SSPA merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperbaharui dan memperkasakan sistem perkhidmatan awam di Malaysia.

Katanya, pelaksanaan SSPA dilihat akan memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan awam dan APMM menyambut baik pelaksanaan sistem saraan baharu ini.

“Inisiatif ini merupakan langkah penting yang diperkenalkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mereformasi struktur saraan pegawai awam.

“SSPA bukan sahaja memperkenalkan penambahbaikan dari segi struktur gaji dan imbuhan, tetapi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif serta peluang peningkatan kerjaya yang lebih jelas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini tadi.

Terdahulu, proses menandatangani opsyen SSPA warga APMM dimulakan dengan sesi taklimat kepada pegawai dan anggota di seluruh negara bermula 30 September hingga 17 Oktober lalu.

Ia diteruskan dengan sesi menandatangani borang opsyen SSPA pada 21 Oktober lalu dengan dimulakan dengan pengurusan tertinggi Ibu Pejabat APMM sehingga peringkat anggota pelaksana yang berakhir pada 25 Oktober lalu.

Katanya, opsyen SSPA warga APMM merujuk kepada dua Pekeliling Perkhidmatan iaitu perkhidmatan penguat kuasa maritim dan perkhidmatan guna sama.

“Kejayaan pelaksanaan sistem ini bergantung kepada komitmen dan kerjasama semua warga APMM dalam menyesuaikan diri dengan perubahan,” ujar beliau.

Berkuatkuasa pada 1 Disember ini, SSPA diperkenalkan sebagai satu sistem yang lebih komprehensif menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) bagi meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan serta meningkatkan daya saing negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI