fbpx

Dewan Rakyat: 3R, ‘bank scam’, kerugian FashionValet dibangkitkan esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN.

PETALING JAYA – Kesalahan 3R ‘Race, Religion & Royal’ (kaum, agama dan raja), isu berkait kerugian ‘bank scam’ serta kerugian Fashion Valet antara yang akan dibincangkan pada sidang Dewan Rakyat esok.

Menerusi Aturan Urusan Mesyuarat yang dipaparkan pada laman web Parlimen, Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad bertanyakan soalan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung garis panduan dan perincian untuk kerajaan mengklasifikasikan sesuatu isu itu sebagai kesalahan 3R.

Beliau turut meminta menteri menyenaraikan jumlah kes 3R yang disiasat dan didakwa di seluruh negara dalam tempoh bermula Disember 2022 sehingga September tahun ini.

Berhubung isu ‘bank scam’, Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen meminta Menteri Kewangan menyatakan statistik terperinci berkenaan kerugian dialami oleh pemegang akaun bank akibat daripada ‘bank scam’.

Ia meliputi kerugian sekitar tahun 2021 hingga 2024 selain soalan, sama ada langkah-langkah baharu seperti penggantian OTP dan ‘kill switch’ berkesan untuk mengurangkan kerugian tersebut.

Mengenai FashionValet, Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah yang telah dilabur ke syarikat e-dagang tersebut oleh Khazanah, Permodalan Nasional Berhad dan jika ada Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

Bee Yin turut meminta menteri menjelaskan tentang jumlah kerugian akibat penurunan nilai dan penjualan saham FashionValet.

Terdahulu, media melaporkan FashionValet, sebuah syarikat e-dagang dalam industri startup Malaysia yang ditubuhkan pada 2010 dijual dengan harga rendah kepada firma pelaburan tempatan, NXBT Partners dalam ‘fire sale’.

FashionValet diasaskan oleh pasangan suami isteri, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzarudin Anuar, dilaporkan bermula sebagai platform untuk menjual barangan fesyen sebelum ia melancarkan dua jenama dalaman, dUCK dan Lilit, sebagai sebahagian perniagaan yang diumumkan pada 2022.

Perkara lain turut dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat esok ialah bilangan pengusiran yang dilakukan antara 1 Januari hingga 14 Oktober tahun ini, mengikut pecahan umur, jantina, kewarganegaraan dan status Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Soalan tersebut akan ditanyakan oleh Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin kepada Menteri Dalam Negeri, malah beliau turut bertanyakan langkah diambil oleh kerajaan untuk memastikan pengusiran ini tidak melanggar prinsip nonrefoulement.

Ahli Parlimen Wang Maju, Zahir Hassan turut meminta Menteri Dalam Negeri berhubung perancangan dan strategi kerajaan untuk mendapatkan data kewujudan warga asing tanpa izin di Malaysia serta jumlah pemegang kad UNHCR serta tanggungan mereka.

Soalan-soalan lain yang turut diajukan oleh Ahli Parlimen lain antaranya berhubung isu kewarganegaraan anak melibatkan ibu warga Malaysia, peningkatan harga diesel selepas pemansuhan subsidi, isu-isu keselamatan di kawasan sempadan Sabah, kerugian cukai kerajaan akibat aktivti pertaruhan haram, keselamatan siber susulan teknologi kecerdasan buatan (AI). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI