GEORGE TOWN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang terjatuh dari bilik tidur utama, tingkat 12 sebuah kondominium di Lebuh Tunku Kudin, Gelugor, di sini semalam kini berada dalam keadaan stabil.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, kanak-kanak berkenaan kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta untuk pemerhatian selama 48 jam.
”Menurut keluarga mangsa, dia dalam keadaan stabil dan kini berada di ICU untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan parah setelah terjatuh dari bilik tidur utama, tingkat 12 sebuah kondominium di Lebuh Tunku Kudin, Gelugor.
Siasatan pihak polis mendapati, mangsa ditemui oleh neneknya berusia 63 tahun yang juga penjaganya di tingkat tujuh bangunan terbabit. – KOSMO! ONLINE