fbpx

Bola Jaring Asia: Malaysia kempunan ke pentas final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN negara kempunan untuk melangkah ke perlawanan akhir selepas tewas kepada Singapura hari ini. - FB PERSATUAN BOLA JARING MALAYSIA

PETALING JAYA – Harapan skuad bola jaring negara untuk mara ke pentas final pada Kejohanan Bola Jaring Asia 2024 terkubur apabila tewas 46-54 kepada Singapura dalam perlawanan separuh akhir di Bangalore, India hari ini.

Malaysia memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila membuka tirai jaringan pada suku pertama dan cuba mendahului kutipan mata, namun rentak itu tidak dapat dikekalkan.

Singapura kemudian menguasai perlawanan dengan ketangkasan pertahanan dan permainan menyerang yang sukar dibendung, menekan Malaysia dengan perbezaan gol yang semakin jauh.

Kesilapan kecil dan kurang ketahanan dalam mempertahankan kedudukan memberi ruang kepada Singapura untuk terus mengukuhkan dominasi.

Skuad kendalian Choo Kon Lee dilihat berdepan cabaran dalam mengekalkan momentum, manakala pasukan Singapura pula tidak melepaskan peluang untuk menjarakkan kedudukan, terutama dalam kawasan D yang menyaksikan mereka lebih cemerlang.

Meskipun cuba untuk bangkit menyamakan kedudukan pada suku masa keempat, namun jurang 20 mata yang ditinggalkan pada suku masa kedua menyukarkan skuad negara untuk bangkit mempertahankan kedudukan.

Dengan kekalahan itu, skuad Malaysia akan berdepan Maldives dalam penentuan tempat ketiga esok dengan harapan untuk membawa pulang pingat gangsa sebagai penawar kekecewaan.

Sementara itu, Sri Lanka memastikan tiket ke final apabila menundukkan Maldives 80-32 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Perlawanan itu berlangsung dalam suasana terkawal untuk Sri Lanka yang mempamerkan dominasi penuh dan turut mencuba beberapa kombinasi pemain simpanan di bawah bimbingan ketua jurulatih, Nalika Prasadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI