fbpx

‘Kalau ada tawaran luar negara, saya terima dengan syarat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SITI Saleha, sepotong nama yang jika diikuti perkembangan kerjaya seninya boleh dikatakan cemerlang. 

Tanpa kontroversi murahan, dia berjaya memahat nama di persada seni tanah air selain meletakkan diri dalam kalangan aktres papan atas.

Bakat lakonannya tidak perlu dipertikai, setiap watak akan dipersembahkan sehabis baik sehingga berjaya meledakkan drama mahupun filem.

Tidak berlebihan sekiranya pemilik nama penuh Siti Saleha Mohd. Baharum itu dianggap sebagai wajah ‘pelaris’. 

Masakan tidak, hampir semua kerja lakonannya berjaya mendapat tempat di hati penonton.

Lebih manis, segala kerja kerasnya selepas lebih sedekad bergelar anak seni terbayar apabila dijulang sebagai Bintang Asia Terbaik pada Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024 menerusi drama SeOfis baru-baru ni.

Berkongsi kegembiraan, anak kelahiran Basildon, United Kingdom itu mengakui masih terkejut untuk menerima kenyataan bahawa namanya diumumkan sebagai pemilik trofi tersebut.

“Sebenarnya saya masih terkejut, masih berusaha terima realiti ‘manis’ itu. Itu realiti yang manis. Dalam masa sama bersyukur kerja keras membuahkan hasil.

“Alhamdulillah rezeki di Seoul dan rasanya semua orang mempunyai impian untuk memiliki trofi di peringkat antarabangsa. 

Ingin terus matang dalam dunia seni, Saleha ingin mencuba nasib di belakang tabir sebagai produser untuk karya-karya mendatang.

“Memang bangga dapat mewakili negara, satu pencapaian yang sangat besar untuk seorang anak Malaysia bernama Siti Saleha,” katanya kepada Pose.

Ketika segelintir pelakon mula ‘naik harga’ selepas menang trofi, Saleha pula sebaliknya, tidak terlintas sama sekali, apatah lagi memberi tekanan kepada diri sendiri. 

Tuturnya, dia masih individu sama tanpa meletakkan sebarang syarat mengarut atau ‘demand’ tinggi.

“Saya tak pasti dan tidak tahu sama ada trofi itu akan beri tekanan kepada diri sendiri.

“Kalau tanya sama ada ekspektasi semakin tinggi atau tidak, jawapan saya tidak.

“Setakat ini tiada panggilan telefon yang saya terima (tawaran dari luar negara),” selorohnya.

Dalam sisi lain, Saleha tidak menolak sekiranya trofi tersebut membuka lebih banyak pintu rezeki untuknya  mengembangkan kerjaya seni di persada seni antarabangsa kelak.

“Saya masih setia di Malaysia tetapi jika ada peluang dan tawaran untuk terbang tinggi di luar negara, saya akan terima.

Siti Saleha berkata, dia masih tidak mempercayai bahawa dia berjaya menggenggam trofi Bintang Asia Terbaik pada Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024 menerusi drama SeOfis baru-baru ni.

“Manalah tahu, pada masa depan pintu rezeki lebih terbuka luas disebabkan anugerah ini? Saya serahkan semua pada aturan Tuhan,” tuturnya.

Popular menerusi drama 7 Hari Mencintaiku, adik kepada Sam Bunkface itu turut bertegas, tidak salah sekiranya seorang anak seni mempunyai angan-angan untuk memenangi sebarang trofi di pentas anugerah antarabangsa.

Ujarnya, impian sebegitu perlu ada dalam diari setiap anak seni. Pengiktirafan luar mampu menyuntik  lebih banyak semangat untuk mempersembahkan hasil kerja lebih baik.

“Saya rasa semua anak seni perlu ada impian untuk terbang lebih tinggi ke peringkat antarabangsa. Tidak salah kalau sekadar berangan sekali pun. 

“Sekiranya jadi realiti, itu satu bonus. Itu bermaksud, jika sudah fikir untuk memiliki trofi di peringkat antarabangsa, bermaksud anda sudah ada cita-cita tinggi dan tidak mahu sekadar bekerja di negara sendiri.

“Tidak salah pun ada impian sebegitu. Kalau nak jadi lebih baik, cubalah ke luar negara,” katanya lagi.

Pelaris

Sering dipuji dek kemenjadian lakonan dalam sebarang naskhah dan mendapat sambutan ramai, Saleha mengakui pendekatan selektif dalam pemilihan watak adalah kata kunci dalam kariernya.

“Alhamdulillah, pemilihan drama sangat penting. Saya utamakan kualiti naskhah sebelum menerima mana-mana tawaran. Sebab itu saya selalu mengutamakan kepuasan diri agar penonton rasa berbaloi untuk menonton.

“Setiap kali terima tawaran, saya tak fikir tentang sambutan penonton sebab kita tak akan pernah tahu rezeki itu. 

Terbuka mengembangkan sayap di luar negara, Saleha masih ingin terus berbakti dalam negara dalam bidang seni lakonan. – IHSAN SITI SALEHA

“Saya rasa sangat rendah diri tetapi menerima pujian sebagai wajah pelaris drama. Apa pun, semua terpulang kepada pemilihan drama. Menjadi selektif itu perlu,” jelasnya.

Bagi memastikan dirinya memiliki kepuasan dalam setiap lakonan, dia menolak untuk menerima watak berulang agar penonton tidak berasa bosan.

“Syarat? Saya bukan jenis terima watak yang pernah dilakonkan sebelum ini sebab kalau lakukan benda sama, risau beri kesan kepada cara saya sampaikan watak tersebut.

“Apa yang saya mahukan adalah watak berbeza. Saya juga teringin terlibat dengan kerja di sebalik tabir iaitu sebagai produser atau sebagainya,” ujarnya.

Sempat meminta sebarang tip untuk dikongsi kepada bakat baharu yang muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan, Saleha hanya mahu generasi baharu tidak mudah berputus asa.

“Jangan putus harapan dan buang rasa malu. Dahulu, saya mula berlakon tanpa sebarang asas kukuh dan tidak pergi kelas lakonan. Saya hanya bersandarkan minat.

“Realitinya, pengalaman yang dikumpul sangat membantu untuk asah bakat. Memang ambil masa dan sebab itu jangan putus asa,” kongsinya.

Dia juga berharap pelakon generasi baharu hari ini tidak mudah hanyut dengan populariti selain menerima setiap kritikan secara positif.

“Kalau orang beri tawaran, bermaksud anda ada potensi. 

“Jika ada yang cakap lakonan masih kayu dan teruk, jangan rasa malu atau murung sebab itu sebahagian perjalanan untuk berada di posisi lebih hebat.

“Kalau ada kritikan atau kecaman, terima dengan positif dan semangat perlu kental.

“Sebab persaingan dalam industri ini sangat kuat,” kata beliau mengakhiri bicara.



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI