fbpx

MAIWP peruntuk RM101,000 bantu penduduk Kampung Balik Batu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im menyampaikan replika cek RM7,000 kepada wakil Surau Al-Khawarizmi sambil diperhatikan Ab. Rauf pada Majlis Perasmian Program Satu Pemimpin Satu Kampung Santuni Madani di Kompleks Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Masjid Tanah hari ini. - Foto oleh AMRAN MULUP

ALOR GAJAH – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sebanyak RM101,000 kepada penduduk Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di sini menerusi Program Satu Pemimpin Satu Kampung Santuni Madani.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd. Nizam Yahya berkata, ia bertujuan menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tiada kampung tercicir dalam mendapat limpahan pembangunan dan kemakmuran ekonomi negara.

Menurutnya, peruntukan tersebut meliputi bantuan kepada masjid, surau, sekolah, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), pelajar sekolah serta golongan asnaf.

Jelasnya, tumpuan utama program adalah berkaitan dengan isu-isu kemiskinan, kesihatan dan pendidikan.

“Pelbagai program diatur seperti sukaneka, gotong royong membersihkan tanah perkuburan, menziarahi lima rumah penduduk yang terlantar sakit dengan kita memberikan bakul makanan bernilai RM100 dan wang tunai RM300.

“Selain itu, MAIWP turut perkenalkan Gerobok Rezeki di Surau al-Khawarizmi di mana konsep ini kita perkenalkan di Kuala Lumpur dan Labuan. Kita menyumbang RM2,000 untuk memberi barangan asas seperti biskut, gula, santan dan sebagainya.

“Paling penting MAIWP membawa dua buah bas dua tingkat yang salah satunya menyediakan kemudahan komputer riba dan internet secara percuma dan klinik bergerak untuk penduduk membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Satu Pemimpin Satu Kampung Santuni Madani di Kompleks al-Khawarizmi, hari ini.

Majlis disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar.

Tambah Mohd. Nizam, turut diadakan adalah ceramah agama dan kem motivasi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikendalikan Kolej Profesional Baitulmal MAIWP.

Jelasnya, agensi dan institusi di bawah MAIWP dan rakan strategik turut digerakkan bagi memberikan pelbagai perkhidmatan sepanjang program selama sehari itu diadakan.

“Pemilihan Kampung Balik Batu kerana ini adalah tempat kelahiran saya dan kita akan menganjurkan empat atau lima lagi program berterusan di kampung ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI