PETALING JAYA – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya meraih tiga anugerah berprestij pada PropertyGuru Asia Awards Malaysia dengan kerjasama iProperty di ibu negara malam tadi.
PKNS berkata, dua anugerah itu diterima menerusi projek Ixora di Antara Gapi bagi kategori Best Landed Interior Design dan Best Landed Landscape Design, manakala yang ketiga adalah Anugerah Pilihan Ramai menerusi undian awam.
“Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan perbadanan dalam menyediakan seni bina rumah moden dan memenuhi piawaian tertinggi bagi menarik pembeli.
“Ia juga menjadi penanda aras bahawa PKNS berada di landasan yang betul memberi inspirasi untuk terus berusaha menyediakan projek hartanah berkualiti tinggi yang mampu meningkatkan taraf hidup rakyat selari dengan aspirasi pembangunan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ixora menyediakan 90 unit rumah teres dua tingkat yang dibina dengan tiga varian saiz keluasan lantai dari 1,708.68 hingga 1,872.51 kaki persegi.
Dilengkapi empat buah bilik tidur serta tiga bilik air, Ixora dijual pada harga bermula M588,000 dan dijangka siap pada 2026.
Kelebihan projek itu adalah lokasinya berdekatan institusi pendidikan, kawasan komersial, Stesen KTM Serendah, bank serta kawasan pelancongan menarik dengan latar belakang kehijauan seperti Air Terjun Serendah selain akses kepada beberapa lebuh raya utama.
PropertyGuru Asia Awards Malaysia with iProperty merupakan penyertaan kedua PKNS dengan kali pertama tahun lalu.
Pada majlis itu, PKNS memenangi empat anugerah termasuk satu anugerah di peringkat Asia menerusi kategori Best Affordable Homes Developer (Asia).
Dianjurkan oleh PropertyGuru sejak 10 tahun lalu, ia merupakan salah satu anugerah hartanah berprestij yang memberi penghargaan dan penghormatan kepada pemaju hartanah terbaik di negara ini menerusi 103 kategori yang dipertandingkan. – KOSMO! ONLINE.