fbpx

Lee Zii Jia belum mahu mengalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA berikrar untuk kembali beraksi di Jepun dan China nanti bagi mencerahkan peluang mara ke saingan Jelajah Dunia Akhir nanti.

PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia masih menyimpan hasrat untuk melayakkan diri ke Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir yang akan berlangsung di Hangzhou, China Disember depan.

Bagaimanapun, tugasnya tidak mudah apabila perlu melakar keputusan terbaik dalam baki kejohanan musim ini bagi memastikan kedudukannya dalam kelompok lapan teratas ranking Jelajah Dunia terus selamat.

Pemain No. 7 dunia itu berkata, ia adalah sasaran terkini yang ditetapkan selepas gagal mempertahankan kejuaraan pada kejohanan Terbuka Arctic di Vantaa, Finland dua minggu lalu apabila terkandas di suku akhir.

“Seperti saya katakan sebelum ini, buat masa sekarang saya hanya mahu melayakkan diri ke kejohanan Jelajah Dunia Akhir. Oleh itu, saya perlu tampilkan aksi terbaik di Jepun (Kumamoto Masters) dan Shenzhen (China Masters).

“Itu adalah sasaran buat masa ini,” katanya yang baru sahaja menerima RM100,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) atas kejayaan meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024 Ogos lalu.

Pada ketika ini, bekas juara Asia dan All England itu berada dalam landasan terbaik untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir apabila menghuni kedudukan kelima ranking Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Terdahulu, Zii Jia terpaksa menarik diri daripada menyertai Terbuka Denmark di Odense selepas mengalami kecederaan buku lali ketika berdepan Koki Watanabe dari Jepun pada Terbuka Arctic.

“Dalam tempoh setahun setengah bersama jurulatih Wong Tat Meng, banyak perubahan positif dapat dilihat. Buat masa sekarang, tidak ada sebarang perubahan. Sekiranya ada, saya akan beritahu anda,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI