fbpx

Nahas lima maut: Farhana selalu elak bercuti ke Cameron Highlands

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasmah (tengah) menyiram air mawar ke pusara empat ahli keluarganya yang maut dalam nahas di Tanah Perkuburan Islam Kampung Payang Kayu, Hulu Terengganu hari ini.

HULU TERENGGANU – Seorang warga emas tidak menyangka percutian keluarga ke Cameron Highlands, Pahang yang dirancang Rabu lalu membawa khabar duka apabila dia kehilangan empat ahli keluarga serentak dalam nahas di Gua Musang, Kelantan semalam.

Hasmah Abu Bakar, 63, yang turut serta dalam percutian itu tergamam kerana kehilangan dua anak perempuan, menantu dan cucu akibat tragedi berdarah tersebut.

“Percutian keluarga ke Cameron Highlands itu merupakan idea arwah anak ketiga saya (Shazwani Ismail) dan disuarakan secara spontan Rabu lalu.

“Saya masih ingat kata-kata Wani (Shazwani), katanya kalau rancang awal bimbang tidak menjadi,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Payang Kayu di sini hari ini.

Jenazah anak ketiganya, Shazwani bersama suami dan anak sulung, Mohd. Junaizi Jusoh, 48, dan Muhammad Fakrul Danish, 18, serta anak kelimanya, Farhana.

Kesemua mangsa yang maut selepas kereta Perodua Myvi dalam perjalanan ke Cameron Highlands dirempuh lori muatan batu di Kilometer 86, Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang pada pukul 11.57 pagi semalam.

Hasmah berkata, pada mulanya dia berbelah bahagi untuk mengikuti percutian tersebut tetapi akur apabila dipujuk oleh Farhana.

Ibu tujuh anak itu berkata, sebelum ini anak kelimanya kurang berminat mengunjungi Cameron Highlands.

“Dia (Farhana) selalu mengelak mengikut ajakan ke Cameron Highlands dengan alasan sudah kerap bercuti di pusat peranginan itu sebelum ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI