fbpx

UNIFIL berundur selatan Lebanon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONVOI UNIFIL bergerak ke bandar Tyre semalam. - Foto AFP

BEIRUT  –  Pasukan tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berundur dari pos pengawasan mereka dekat bandar Dhayra di selatan Lebanon, lapor portal berita TRT World kelmarin.

Pengunduran berlaku pada Selasa lepas selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah mereka.

Misi pengaman PBB  dikenali sebagai Pasukan Interim PBB (UNIFIL) itu ditempatkan di selatan Lebanon untuk memantau permusuhan di sepanjang sempadan Garis Biru antara kumpulan Hezbollah dan Israel.

Kawasan itu menyaksikan pertempuran sengit dalam bulan ini antara tentera Israel dengan pejuang Hezbollah.

Misi PBB itu berkata, tentera Israel melepaskan tembakan ke arah pos pemerhatian itu apabila menyedari operasi mereka diawasi UNIFIL.

Ia menyebabkan anggota-anggota bertugas berundur bagi mengelak daripada terkena tembakan.

Menurutnya, tentera Israel berulang kali meminta UNIFIL mengosongkan kedudukan di sepanjang Garis Biru dan sengaja merosakkan kamera, lampu serta peralatan komunikasi milik pasukan pengaman itu.

Misi itu berkata dalam satu kenyataan berasingan bahawa kemudahan perubatan di kedudukan UNIFIL di Beit Lif telah diserang pada Rabu lalu menggunakan peluru artileri  atau roket yang tidak diketahui puncanya. Bangunan UNIFIL yang diserang itu mengalami kerosakan.

Dua peluru meriam atau roket yang juga tidak diketahui asalnya menyebabkan kerosakan kepada penempatan UNIFIL di Kafr Shuba.

Bagaimanapun, tiada anggota pengaman cedera dalam insiden tersebut, tambah UNIFIL.

Lima anggota pasukan pengaman itu cedera Israel melancarkan serangan darat di seratan Lebanon pada 1 Oktober lalu. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI