HULU TERENGGANU – Jenazah empat sekeluarga yang maut dalam nahas di Gua Musang, Kelantan semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Payang Kayu di sini hari ini.
Terdahulu, jenazah Mohd. Junaizi Jusoh, 48, isterinya, Shazwani Ismail, 39, anak sulung mereka, Muhammad Fakrul Danish,18 dan adik Shazwani, Farhana, 35, tiba di kampung mereka pada pukul 7 pagi.
Jenazah empat sekeluarga itu kemudian dibawa ke Masjid Kampung Payang Kayu untuk disolatkan lebih 500 jemaah sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Upacara pengebumian empat sekeluarga itu selesai pada pukul 10 pagi.
Dua anak perempuan arwah Shazwani dan Mohd. Junaizi, Nur Jihan Irdina,13, dan Nur Anis Zahra Nazihah,12, kelihatan sugul dan menitiskan air mata sepanjang pengebumian tersebut.
Kosmo! sebelum ini melaporkan empat sekeluarga yang dalam perjalanan untuk bercuti di Cameron Highlands, Pahang maut selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka dirempuh lori membawa muatan batu.
Nahas pada pukul 11.57 pagi itu turut mengorbankan pemandu lori, G. Mageswara, 53. – KOSMO! ONLINE