fbpx

Dua wanita pekerja Tabib Adam ditahan, guna kaedah rawatan sesat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUAT KUASA JAIM melakukan pemeriksaan dan merampas barangan kes berkaitan amalan Tabib Adam yang menyeleweng daripada ajaran Islam.

MELAKA – Dua wanita yang merupakan perawat di pusat perubatan Tabib Adam di Masjid Tanah, Alor Gajah ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam serbuan dilakukan di premis berkenaan, semalam.

Dalam serbuan bermula pukul 11.30 pagi sehingga 3 petang itu, wanita yang ditahan masing-masing berusia berusia 38 dan 44 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, penahanan wanita terbabit dibuat selepas disyaki melakukan rawatan menggunakan kaedah yang diwartakan sesat.

“JAIM telah menerima aduan awam yang menyatakan bahawa pusat perubatan Tabib Adam atau Adam Isa masih beroperasi walaupun telah ada fatwa pengharaman yang diwartakan di negeri Melaka.

“Ketika pemeriksaan dilakukan kita telah menemui dua anak Tabib Adam serta dua perawat wanita yang kemudiannya ditahan selepas disyaki melakukan aktiviti perubatan yang diwartakan sesat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ujarnya, penahanan itu dibuat mengikut Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 iaitu menghina agama Islam dengan mengingkari atau melanggar fatwa yang diwartakan negeri Melaka.

Mengulas lanjut beliau berkata, dalam serbuan itu pihak JAIM turut merampas barangan kes termasuk papan tanda di pagar masuk, buku resit, ubat-ubatan dan risalah berkaitan produk kesihatan.

“Pemeriksaan dilakukan di pusat rawatan, tempat jualan ubat dan rumah pengasas tersebut. Kita dapati pusat rawatan itu serta jualan tidak lagi beroperasi.

“Semua masyarakat Islam dinasihati agar menjauhi amalan dan kaedah perubatan Pusat Perubatan Islam Jarak Jauh Sunan Kalijaga atau apa-apa nama amalan serta kaedah perubatan lain dijalankan oleh Adam Isa atau pengikutnya yang telah diwartakan sesat,” katanya.

Pada 14 Oktober lalu, Kosmo! melaporkan pengamal perubatan dikenali sebagai Tabib Adam yang dipercayai menerima kira-kira 50 pesakit setiap hari di pusat perubatannya di Masjid Tanah, Alor Gajah bagi melakukan pelbagai rawatan termasuk membuang saka diwartakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa negeri.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, perkara itu telah ditetapkan pada 12 September lalu selepas hasil kajian dan laporan dibentangkan dalam muzakarah mendapati rawatan yang dilakukan di pusat tersebut mempunyai elemen keraguan termasuk menyeru makhluk halus.

Ujarnya, susulan itu pihaknya telah meminta pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk mengambil tindakan lanjut berdasarkan fatwa yang telah diwartakan itu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI