fbpx

Jasmine Loo dakwa anak tiri Najib, Jho Low berkawan baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jasmine Loo Ai Swan (kanan).

KUALA LUMPUR – Bekas peguam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan berkata anak tiri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Riza Aziz dilihat berkawan baik dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Jasmine Loo membuat tanggapan tersebut apabila sering melihat Riza atau nama penuhnya, Riza Shahriz Abdul Aziz bersama Jho Low dalam beberapa majlis termasuk pada percutian keluarga.

Wanita itu memberitahu, kali pertama dia bertemu dengan Riza adalah pada percutian keluarga Jho Low di Whistler, Kanada sekitar penghujung Disember 2012 atau Januari 2013 selain ada bertemu dengan Riza selepas percutian tersebut apabila dia melancong ke luar negara bersama Jho Low.

Saksi itu berkata demikian pada perbicaraan kes saman 1MDB dan tiga anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited selaku plaintif terhadap Riza dan dua syarikat lelaki berkenaan iaitu Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited sebagai defendan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah firma guaman di Amerika Syarikat, Shearman & Sterling.

Tuntutan saman yang difailkan itu adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dimulakan oleh 1MDB terhadap sembilan entititi termasuk dua institusi kewangan luar dan 25 individu dalam usaha mendapatkan semula asetnya.

Pada ucapan pembukaan perbicaraan itu, plaintif menyatakan bahawa wang berjumlah AS$248 juta telah digunakan untuk kepentingan peribadi Riza antaranya bagi pembelian beberapa hartanah dan perbelanjaan berjudi.

Wang tersebut juga telah digunakan oleh Riza Shahriz serta sekutunya untuk membeli memorabilia filem selain membiayai filem keluaran Red Granite Pictures antaranya, Wolf of Wall Street yang mana pelakon utamanya ialah Leonardo DiCaprio.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili Riza, Jasmine Loo tidak menafikan bahawa dia juga berkawan baik dengan Jho Low.

Bagaimanapun, wanita itu tidak bersetuju dengan cadangan peguam terbabit bahawa dia cuba memburukkan reputasi Riza apabila menyatakan bahawa anak tiri Najib itu berkawan baik dengan Jho Low.

“Anggapan (berkawan baik) itu dibuat berdasarkan pemerhatian saya,” katanya.

Pada perbicaraan kes jenayah membabitkan penyelewengan dana RM2.28 bilion yang dihadapi Najib, Jasmine Loo yang juga saksi pendakwaan ke-50 menyatakan dia merupakan antara kawan rapat Jho Low dan sering menyertai `percutian keluarga dan rakan rapat’ Jho Low.

Tambahnya, beliau pernah bercuti, berparti dan berjudi dengan ramai selebriti Hollywood seperti Leonardo DiCaprio, Alicia Keys; model ternama seperti Adrianna Lima dan bekas pemain bola sepak, David Beckham selain menerima pelbagai hadiah mahal seperti jam tangan mewah Richard Mille yang dianggarkan berharga di antara RM500,000 hingga RM3 juta dan beg jenama Hermes.

Menurut writ saman yang difailkan pada 7 Mei 2021, plaintif mendakwa kesemua defendan telah menerima kira-kira AS$248 juta dalam dana yang dilesapkan daripada plaintif antara 2011 dan 2012 selain mendakwa mereka menggunakannya untuk kepentingan diri dan sekutu, termasuk bagi tujuan pembiayaan produksi filem dan pembelian pelbagai hartanah.

1MDB mendakwa firma guaman Shearman & Sterling membenarkan Riza serta ‘sekutunya’ iaitu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) menggunakan akaun klien di firma itu untuk mengubah sejumlah besar dana yang diselewengkan.

Sehubungan itu, plaintif menuntut deklarasi bahawa Riza bertanggungjawab atas dana yang dilesapkan dan diterima atas alasan penerimaan berpengetahuan atau secara alternatifnya penolongan tidak jujur.

Writ saman itu juga menyebut, plaintif-plaintif berhak untuk dibayar balik dana yang dilesapkan dan diterima defendan pertama atas alasan menjadi kaya secara tidak adil (unjust enrichment).

Sementara itu menurut penyataan pembelaan Riza dan dua syarikatnya, dia mendakwa memperoleh pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company (IPIC ) untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat dan bukannya daripada dana 1MDB.

IPIC merupakan syarikat yang ditubuhkan di Abu Dhabi yang pada ketika itu Pengarah Urusannya adalah Khadem Abdullah Al-Qubaisi, yang merupakan bekas pembantu Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan iaitu Timbalan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu dan juga ahli keluarga diraja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI